Wednesday, March 6, 2013
Ustaz Azhar Idrus & Ustaz Haslin Bahrin (Bollywood) - Anak Isteri Yg Bertuah
بسم الله الرحمن الرحيم
"Sesungguhnya Allah berikan dunia kepada sesiapa yang Allah suka dan kepada sesiapa yang Allah tidak suka, akan tetapi Allah akan beri agama hanya kepada yang dicintai."
- Hadith Riwayat Ahmad -
Bagi manusia bukanlah satu perkara yang sukar untuk memperoleh dunia dan isinya kerana Allah akan memberikan dunia ini kepada sesiapa sahaja yang berkehendak. Dapat kita lihat seantero dunia ini koloni manusia dikatogorikan dengan pelbagai golongan yang bersifat duniawi. Misalnya ada orang kaya terdiri dari kalangan orang kafir dan juga muslim, ada orang miskin tergolong dikalangan muslim dan ada juga dikalangan orang kafir, orang kafir dan muslim juga ada dikalangannya berjawatan tinggi dan sebagainya. Ini menunjukkan untuk memperoleh dunia seluruh manusia mampu untuk memilikinya.
Bagaimana pula halnya dengan agama Allah, hidayahNya, sirna iman daripadaNya ? Allah SWT hanya akan mengurniakan agamaNya hanya kepada yang dicintainya sahaja. Allah SWT tidak akan sesekali menganugerahkan agamaNya melainkan kepada manusia yang disayangiNya sahaja. Siapa kini yang memperoleh anugerah agama tersebut ? Itulah dia seluruh sidang pembaca yang memeluk agama Allah yang agung iaitu Islam yang diredhainya. Apa pula kaitannya antara agama dan memperoleh zuriat ?
Firman Allah SWT yang bermaksud :
" Bagi Allah jualah hak milik Segala Yang ada di langit dan di bumi; ia menciptakan apa Yang dikehendakiNya; ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa Yang dikehendakiNya. "
" Atau ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak-anak lelaki dan perempuan, dan ia juga menjadikan sesiapa Yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa."
( Surah Asy Syuura 42 : 49 - 50 )
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud :
"Anak-anak itu merupakan penduduk-penduduk kecil syurga ilahi."
- Hadith Sohih Bukhari Muslim -
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud :
"Bau anak-anak itu, bau syurga Tuhanmu."
- Hadith Tabrani -
Maka persoalannya, mengapa ramai dikalangan manusia yang tidak mahukan zuriat yang ramai ? Kenapa ada dikalangan manusia juga tiada rezeki untuk mendapatkan zuriat ? Ada pula dikalangan wanita yang tidak mahukan anak disebabkan untuk menjaga tubuh agar sentiasa nampak langsing dan muda. Sanggup berhabis modal demi kelangsingan tubuh serta sanggup juga untuk mengelak dari memperoleh zuriat semata-mata mengejar kecantikkan yang hanya sementara. Apa kata hadith Nabi berkaitan zuriat yang bersangkutan dengan wanita ?
Mafhum Hadith :
"Jangan kamu menjadi umpama rahib yang tidak berkahwin, jangan kamu menjadi seperti perempuan-perempuan nasora di gereja-gereja yang tidak berkahwin. Kahwinlah dengan orang yang saling menyintai dan perempuan yang selalu beranak."
- Hadith Al-Baihaqi -
Kata ulamak, antara cara untuk mencari pasangan yang mampu melahirkan zuriat yang ramai di masa hadapan adalah :
1- Melihat dari sudut keturunannya. Moleklah mencari pasangan yang keturunannya ramai.
2- Melihat perempuan yang mempunyai zuriat yang ramai pada perkahwinan yang lalu ( Janda atau Balu )
Apa yang perlu dikhuatirkan jika Allah mengurniakan ramai zuriat kepada kita atau apa lagi yang perlu dirancangkan dalam memperoleh zuriat kelak ? Anda merupakan muslim yang lemah imannya andai bersikap demikian. Anda umpama manusia yang tidak meyakini keagungan Allah andai anda bertindak sebegitu rupa. Allah SWT memberi janji yang sangat jelas untuk kita yakini sebagaimana yang telah termaktub di dalam Al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah Yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan Yang besar."
( Surah Al-Israa' 17 : 31 )
Selain itu, untuk memperoleh keyakinan yang jitu terhadap janji Allah SWT berkaitan rezeki kepada zuriat yang dilahirkan adalah dengan memperelokkan apa yang bersangkutan dengan hati kita. Ramai dikalangan kita yang sering merisaukan perkara yang sebenarnya bukan diatas kekuasaan dan pundak kita. Ini kerana hati kita dipenuhi dengan pelbagai perkara fasad yang mengakibatkan cahaya keyakinan di dalam hati kita menjadi semakin lama semakin malap dan berkemungkinan besar cahaya tersebut mampu lenyap terus dari hati kita. Nabi Muhammad SAW ada berpesan kepada kita,
Mafhumnya :
"Iman seseorang kamu tidak akan sesekali lurus dan cantik sehingga lurus dan cantiklah apa yang ada di dalam hati kamu."
Maknanya apa ? Yakinlah ! Janganlah kamu mempersoalkan rezeki Allah SWT terhadap zuriatmu. Segalanya merupakan kerja Allah SWT. Agaknya mengapa Nabi Muhammad SAW mahukan ummatnya memperoleh zuriat yang ramai ? Rasulullah SAW merasa megah, bangga dan seronok dengan ummatnya kerana ummat yang paling ramai dikalangan para anbiya' adalah ummat Nabi Muhammad SAW. Jika ada dikalangan melayu kita yang menganggap cukup dengan zuriat yang sedikit umpama tiga orang anak maka ini merupakan pegangan yang salah disisi agama.
Memperoleh anak ramai bukanlah satu kemusykilan dan bahana akan tetapi ianya merupakan rahmat yang tersangat besar. Ummat Islam yang mempunyai zuriat yang ramai wajib bersyukur kerana Allah SWT sangat berkehendak bumi ini ditadbir oleh khalifah dikalangan ummat Islam. Makanya zuriat yang ramai tadi insyaAllah akan menjadi pewaris kita yang menyambung perjuangan agama Allah ini dan semoga mereka ini tergolong dalam golongan khalifah yang dikehendaki Allah SWT.
Wallahu Wa Rasuluhu a'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment