Thursday, April 12, 2012

Mati Sengsara Kerana Kezalimannya - Ustaz Kazim Elias



Hajjaj Bin Yusuf Al Saqafi

Al Mas’udi meriwayatkan bahawa semasa pemerintahan Walid Bin Abdul Malik iaitu anak kepada Abdul Malik Bin Marwan, Hajjaj sangat dimuliakan sehingga dipakaikan kulit harimau bintang dan disediakan pedang untuk membunuh sesiapa sahaja yang menentangnya. Hajjaj begitu terkenal dengan kezalimannya dan kebengisannya. Menumpahkan darah serta menodai hal-hal yang diharamkan oleh Allah SWT seakan-akan telah menjadi hobinya. Tersebut di dalam kitab Tarikh Ibnu Jauzi bahawa penjara Hajjaj hanya terdiri daripada dinding sahaja tanpa bumbung yang dapat melindungi para banduan daripada panas terik dan kedinginan. Mas’udi menulis lagi bahawa bilangan orang yang dibunuh oleh Hajjaj mencapai kira-kira 120,000 orang tidak termasuk bilangan yang dibunuh dalam peperangan. Ketika beliau meninggal dunia, terdapat lebih kurang 50,000 orang lelaki dan 30,000 orang perempuan dalam penjaranya dan 16,000 orang perempuan daripada 30,000 orang tadi dalam keadaan tidak berpakaian.

Semasa mencapai usia 54 tahun, Hajjaj menderita sakit perut yang berlarutan selama 15 hari. Akhirnya beliau memanggil seorang tabib lalu tabib berkenaan mengikat secebis daging lalu dimasukkan ke dalam tekak Hajjaj. Apabila dikeluarkan daging tersebut, didapati sejumlah ulat telah melekat pada cebisan daging tadi. Dalam tempoh penderitaan yang berlarutan itu, Hajjaj juga mengalami penyakit kesejukan dan menggigil sehingga membawa kepada kematiannya.

No comments:

Post a Comment